Tentang Filem Sebagai Filem – Apresiasi Sinema di Dunia Lockdown

Fikri Jermadi meluahkan perasaan mengenai cara kita berhujah tentang filem di dunia pandemik sekarang.

Semakin lama, semakin hampir kita ke penghujungnya.

Pada saat saya menulis ini, sudah beberapa minggu menjelang pembukaan panggung wayang di beberapa negera berlainan. Malaysia, misalnya, sudah menyambut para penonton dari awal Julai, manakala Inggeris ikut jejak yang sama sebulan kemudian. Korea Selatan, salah satu negara yang sering dipuji dalam pembanterasan pandemik ini, malah tidak tutup panggung sama sekali.

Dalam setiap percubaan tersebut ada cara berlainan untuk memancing kembali orang ramai. Korea menawarkan harga tiket yang lebih murah dari biasa, manakala Malaysia menaiktarafkan itu dengan tayangan percuma filem-filem seperti ‘Jumanji: The Next Level’. Di Inggeris, mereka ambil jalan nostalgia, meriliskan filem-filem seperti ‘Back to the Future’ dan ‘The Dark Knight’, arahan Christopher Nolan.

Filem terbaru sutradara di atas ini akan tidak lama lagi hadir di pawagam, dengan harapan ‘Tenet’ tidak tenat dengan pikulan harapan besar industri perfileman, bahawa orang ramai akan menyahut seruannya untuk kembali ke pawagam. Namun pada saat yang sama, saya tidak dapat menghindari rasa kurang selesa, di mana kita akan sekali lagi mengagungkan kutipan kasar di box office sebagai petanda kualiti.

Saya tidak perlu jelaskan secara lebih mendalam tentang bagaimana dunia baru kita ini telah banyak menyusahkan ramai orang. Di industri perfileman sahaja sudah banyak kesan negatif di jangka pendek dan panjang. Selain dari filem Hollywood seperti ‘Tenet’, ‘Mulan’ dan ‘Fast and Furious 9’, tayangan karya tempatan seperti ‘Takut Ke Tak?’, ‘Eye on the Ball’ dan ‘Roh’ juga ditunda.

Ini tidak bermakna bahawa penghargaan filem juga dihindari sepenuhnya. Malah, ia boleh dikatakan bahawa konteks pandemik ini berjaya mencetus inspirasi dan apresiasi sinema yang lebih mendalam. Di Malaysia telah ada beberapa pertandingan filem anjuran Kuman Pictures, Skop Productions, Fat Bidin Media dan sebagainya.

Di seberang Selat Balabak pula, saluran YouTube Filipina seperti TBA Studios ambil peluang untuk meriliskan filem seperti ‘Neomanila’, arahan Mikhail Red. Mereka yang belum kenal denga karya Lav Diaz dapat menikmati ‘Hele sa Hiwagang Hapis’ secara percuma (walaupun, dengan jangka masa lapan jam, mungkin saya harus fikirkan lagi perkataan ‘nikmat’ ini). Pembikin filem independent di negara itu juga mewujudkan Lockdown Cinema Club, senarai filem-filem yang ditampilkan secara percuma dengan seruan untuk para penonton memberi amal kepada mereka yang paling terjejas dalam pandemik ini.

Semua ini merupakan peluang emas untuk menghargai karya tanpa menobatkan prestasi ekonomik mereka. Malah, ia juga merupakan satu cara untuk belajar bagaimana kita boleh agungkan jalan cerita, perkembangan watak dan gambaran konflik dizahirkan dengan keberanian yang jarang kita lihat di panggung arus perdana tempatan.

Ini tidak bermaksud bahawa semua filem-filem tersebut adalah baik dan tidak membosankan; bagi setiap ‘High Way’ dan ‘History of Civilization’, ada ‘An Act of Affection’ dari Viet Vu yang sama sekali tidak menarik. Ia juga boleh dikatakan bahawa filem-filem ini memang pada awalnya tidak mengutamakan pemecahan panggung sebagai satu pengiktirafan kualiti.

Akan tetapi, semua ini merupan cebisan penting dari gambar yang saya lihat, iaitu di dunia pandemik ini, apa yang saya perhatikan adalah satu perubahan kecil cara perbincangan dan penghargaan filem, mengalir dari aliran yang mengagungkan prestasi ekonomik kepada pemikiran tentang filem sebagai filem.

Dunia pra-lockdown kita biasanya menobatkan kutipan kasar di box office sebagai satu petanda kualiti. Kebanyakan dari persepsi tentang filem berdasarkan kutipan box office mereka. Setiap hujung minggu (dan hari Isnin), Box Office Mojo akan menyampaikan analisis mengenai perkembangan terbaru di box office Hollywood dan antarabangsa.

Saya sebenarnya mengkagumi semua ini, bukan sahaja dalam kebolehan mereka untuk mengumpul data berkenaan buat kajian lebih mendalam, tetapi juga untuk menyampaikan analisis tersebut dengan cara yang logik dan meyakinkan. Perasaan ini ditingkatkan lagi jika dibanding dengan konteks yang sama di Malaysia, di mana penyebaran maklumat tersebut masih terhad.

Akan tetapi, contoh di atas juga boleh menjadi satu masalah, terutama bila gubahan yang disampaikan membentuk persepsi kita tentang sesebuah filem, apalagi kalau ianya diasaskan kepada prestasi ekonomik filem tersebut. Masalah ini diperbesarkan lagi dengan fokus kepada minggu pertama tayangan sesebuah filem, satu jangka masa yang diberikan terlalu banyak kepentingan yang sebenarnya tidak penting.

Pada saat lockdown, dengan ketidakhadiran peluang untuk mengutamakan prestasi ekonomik sesebuah filem, kita diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk berfikir secara kritis tentang filem-filem tersebut. Sama ada kita suka atau tidak, secara umum perasaan ini tidak didorong oleh insentif ekonomik seperti biasa.

Buat saya, ini sesuatu yang menyegarkan; diberi ruang bernafas, saya lebih sedar bahawa udara sebelumnya lebih beracun dari disangka. Mahu atau tidak, saya memang prihatin tentang sinema sedunia, termasuk prestasi box office filem-filem kegemaran saya. Walaupun ini memberi satu tahap pengetahuan yang lebih mendalam, ia juga menjadi faktor penapisan yang berlegar di ruang minda.

Mungkin semua ini lebih mencerminkan diri saya sendiri, dan tidak boleh mewakilkan pemikiran orang ramai. Ia juga tidak bermaksud bahawa perbincangan tentang filem di waktu lockdown hanya berkaitan dengan estetik sinema sahaja. Filem ‘Trolls World Tour’ ditayangkan secara digital, menghasilkan hampir $100 juta.

Di Malaysia, filem ‘Manap Karaoke’ arahan Mamat Khalid meraih RM1 juta melalui tayang di Astro First, sementara Abdul Razak Mohaideen merayakan perlantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS dengan kutipan sebanyak RM3 juta dalam 10 hari pertama tayangan ‘Syif Malam Raya’. Saya yakin ini merupakan sebahagian sebab filem ‘Eye on the Ball’ arahan Yihwen Chen ditarik dari tayangan di pawagam untuk disiar di Astro First.

Ini bukan satu pencacian pola pikir yang melihat filem sebagai business. Apa yang saya ingin bantah adalah ketidakseimbangan corak pemikiran yang terlalu tertakluk kepada pretasi ekonomik dan kutipan box office. Kualiti tidak dapat diungkap sepenuhnya dengan yang kuantitatif, kerana ia memang perlu pemikiran yang lebih kritis dan kreatif, terutama tentang yang kritis dan kreatif.

Semakin hampir kita sampai ke penghujungnya, semakin sering ini berlegar-legar di gawang minda saya. Filem itu business, tapi filem tetap seni, dan saya berharap kesampaian kita ke tahap ini bakal jadi titik permulaan untuk kita terus mengutamakan perbicaraan dan pemikiran tentang filem sebagai filem, melampaui semua yang tidak sewaktu dengannya.

Featured image credit: Medium

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s