Filem terbaru Saw Teong Hin merupakan filem Malaysia paling dinantikan oleh Muzzamer Rahman.
Pembikin filem yang baik sentiasa akan bikin filem tentang dirinya sendiri, dan oleh kerana itu, membikin filem tentang diri sendiri seolah-olah membogelkan diri di khalayak umum. Namun apabila membogelkan diri sendiri, apakah sebenarnya yang pembikin itu inginkan dari penontonnya?
‘You Mean The World To Me’ merupakan filem terbaru Saw Teong Hin. Filem ini dipromosikan sebagai ‘Malaysia’s first ever Penang Hokkien film’, dan filem yang mendapat sentuhan sinematografer Christopher Doyle (yang berkoloborasi dengan Wong Kar Wai dalam filem ‘Chungking Express’, ‘In The Mood for Love’ dan beberapa lagi).
Filem ini mengisahkan tentang Sunny (Frederick Lee), yang pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk menyiapkan filem tentang keluarganya dan rakan-rakannya. Dia berdepan dengan ibunya (Neo Swee Lin), kakaknya Ah Hoon (Yeo Yann Yann), dan Boy (John Tan), abangnya yang mengalami masalah mental.
Selain itu, Sunny perlu mengimbas kembali kenangan lamanya ketika kanak-kanak, dan memahami peristiwa dan hubungannya bapanya, makcik-makciknya, hubungannya makciknya dengan lelaki Australia, dan hubungannya dengan kawan-kawannya ketika sekolah dan para pembuli.
Hubungan Sunny dengan sinema dan televisyen juga harus dipertikaikan. Sebagai sebuah filem, ‘You Mean The World To Me’ mempunyai potensi untuk menjadi filem yang baik sekali, kerana ianya kisah peribadi penulis dan pengarahnya, dengan pengambaran di lokasi asal, serta bantuan sinematografer terbaik dunia pernah ada, ditambah pula dengan elemen nostalgia yang boleh dijual. Sekurang-kurangnya, kalau tidak menjadi filem yang baik, ia boleh menjadi filem yang jujur, yang kita akan rasa.
‘You Mean The World To Me’ bermula dengan syot kepala paip, dan kemudiannya watak Sunny kecil keluar dari panggung. Ketika keluar panggung, kepalanya terhantuk, dan ketika itu juga saya mula terhantuk dengan filem ini. Itu yang menyebabkan saya rasa filem ini dibuat-buat. Dibuat-buat, dalam erti kata cuba memanipulasi emosi penonton, tentang nilai keluarga dan hal nostalgia. Ianya filem tentang betapa pentingnya wang dan harta (entah berapa kali watak-watak dalam filem ini bercerita soal harta) serta kesan tiada harta. Kemudian ia cuba dibalut dengan hal-hal kemanusiaan seperti hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Secara jujur, antara sebab utama saya menonton adalah ingin mengetahui bagaimana Christopher Doyle menangkap imej Pulau Pinang, atau bagaimana beliau melihat Malaysia. Malangnya, yang saya jumpa hanyalah imej-imej yang cantik yang tak memberikan makna mendalam, atau diingati. Berbeza dibandingkan dengan apa beliau bikin dalam filem ‘Fundamentally Happy’, di mana ada beberapa syot reflection dan bayang-bayang.
Bahkan dalam ‘You Mean The World To Me’ ada beberapa babak, seperti babak Sunny bertemu kawan-kawan lama di pusat karaoke, yang seolah-olah ditangkap oleh sinematografer biasa. Di beberapa babak lain pula Doyle cuba mengulangi apa yang pernah dibikinnya – slow shutter shot dalam kereta dan babak wataknya menari, tapi sayang, bukan sahaja ulang, tapi tak memberi kesan pada cerita. Bahkan ada drone shot berkualiti rendah (dengan jitter) yang membuat saya bertanya: apakah yang Doyle cakap selepas menonton keseluruhan filem ini?
Tentang lakonan, John Tan memainkan watak Ah Boy dengan begitu baik sekali. Beliau berjaya memanisfestasikan watak lelaki yang terkurung dalam masalah mental dan masalah keluarga. Dia berfizik besar, berwajah garang, sukar dijangka, namun dia tetap mampu mendapatkan simpati apabila perlu. Tapi pelakon-pelakon lain dalam filem ini hanya memainkan watak masing-masing, dan tak menggali lebih dalam.
Misalnya, sebagai watak utama, kepayahan Sunny mendapatkan wang untuk menyiapkan filemnya hanya dapat dilihat apabila dia sanggup meminta duit dari kawan sekolahnya yang teruk. Kepayahan Sunny sebagai pembikin hanya dilihat dari keretanya yang lama (tapi berfungsi) dan masalahnya dengan kekasih. Dalam payah, Sunny masih boleh lepak di kafe hipster, menanti kakaknya yang kemudian memberikan wang untuk menyiapkan filemnya. Sebenarnya, jenis filem apa yang dia bikin? Dan kenapa dia memberitahu filemnya sebagai sebuah pelaburan? Adakah filem baginya adalah perniagaan?
Selaras dengan ini, kalau lihat set filem Sunny, kita memang tidak menyangka bahawa dia adalah pembikin filem yang ada masalah kewangan. Jadi, Sunny dalam filem ini adalah pembikin filem yang macam mana penonton akan rasa? Adakah pembikin yang jujur ingin menceritakan hal keluarganya, atau pembikin ego yang menggunakan filem untuk menyampaikan rasa marahnya? Kuncinya di sini mungkin terletak di babak bagaimana Sunny memaparkan ibunya cuba diperkosa abangnya. Selain itu pelakon kanak-kanak dalam filem ini sepatutnya memainkan peranan yang penting, tapi ianya sekadar diletakkan tanpa memberikan makna besar kepada cerita. Ini belum cerita tentang watak ibu saudaranya, Vivian (Chelsia Ng) dan Grace (Sue Tan).
Filem ini bukanlah filem buruk; bahkan ia berpotensi (sekali lagi saya nyatakan tentang potensi) menjadi filem yang baik. Saya suka babak di mana Ah Boy memberikan wang kepada Sunny dengan menyatakan “Lelaki tak boleh tak ada duit.” Babak di mana Ah Boy cuba mengacu pisau kepada bapanya juga menarik. Mungkin tiga minit akhir, ketika Sunny menari dengan ibunya, adalah babak paling menarik dalam filem ini, dan antara sebab ramai ingin menonton. Hairannya, ada beberapa dipaparkan dalam trailer, making of dan muzik video yang tidak ada dalam filem ini. Saya nyatakan tadi bahawa filem ini ada potensi untuk jadi filem baik, tapi mungkin potensi-potensi ini seolah-olah disembunyikan, seperti Vivian menyembunyikan passportnya, ataupun Ah Hoon menyembunyikannya bajunya.
‘You Mean The World To Me’ adalah sebuah filem keluarga yang menarik jika ianya fokus terhadap hubungan Sunny-Ibu-Ah Boy, ataupun apabila pembikin menumpukan kepada babak pada masa lalu. Barangkali filem ini perlu lebih jelas sama ada nak jadi filem tentang menebus kesilapan masa lalu, atau cuba menebus masa lalu dengan membikin filem. Ini adalah dua hal yang berbeza. Tapi itulah, benda dah jadi, dan bukan tugas pengkritik untuk menulis apa yang tidak ada di layar.
Mungkin filem ini terlalu peribadi kepada pengarah seperti yang diwar-war di dalam bahan promosi, tapi bukankah memang setiap filem itu harus dibikin secara peribadi? Bahkan semua filem yang dibikin oleh pengarah yang baik adalah kisah tentang dirinya sendiri, walaupun filem itu tentang seekor rakun dan kawan-kawannya yang ingin menyelamatkan galaksi.
Originally published on Facebook. Muzzamer Rahman is an award-winning Malaysian filmmaker. Check out his films ‘Nadia’ and ‘Sebatang Pensel Sebiji Oren’; his latest film, ‘Sekangkang Sepi’, is currently in production.
We previously talked about Saw Teong Hin’s directorial debut ‘Putri Gunung Ledang’, reviewed another film of his in ‘Hoore! Hoore!’, and included him in an analysis of Malaysian-Chinese films many moons ago.
Featured image credit: Grub Street