Dulu dan Sekarang – Mahadi J. Murat

Teman-teman kami di CQ Magazine berbicara dengan Mahadi J. Murat tentang filem terbaru beliau, ‘LuQman’. Mereka juga mengolah secara lebih mendalam hal-hal berkaitan dengan isu identiti, dan perbezaan antara cara dan proses pembikinan filem dari zaman dulu dan sekarang. Versi Bahasa Inggeris boleh dibaca di sini.

Salam Dr Mahadi! Bagi mereka yang kurang tahu, bolehkah Dr cuba menjelaskan sedikit sebanyak mengenai filem terbaru Dr, ‘LuQman’? Filem ‘Luqman’ sebenarnya adalah sebuah filem kecil yang cuba menggagahkan dirinya untuk membawa persoalan besar tentang suatu perkara penting bagi sesebuah masyarakat Malaysia, terutama masyarakat Melayu, misalnya.

Ia boleh dikatakan mengenai persoalan yang mewakili tiga golongan manusia. Satu, mengenai seorang wanita yang ingin menjadi penari, dan seorang lelaki, suami beliau, iaitu seorang sasterawan. Ada juga seorang anak muda yang baru menjenguk di dalam kehidupan. Pertemuan mereka menyentuh persoalan yang ada kaitan dengan budaya disamping menimbulkan hal yang menjadikan plot cerita filem ini bergerak, iaitu tentang perhubungan mereka. Boleh dikatakan, landasannya adalah tentang perhubungan cinta tiga segi.

Sudah lebih daripada 20 tahun sebenarnya semenjak ‘Sayang Salmah’ telah diterbitkan dan disampaikan kepada peminat filem di Malaysia. Apa yang menyebabkan Dr. rasa filem atau cerita ini sesuai dan harus disampaikan pada peminat di Malaysia?
Saya kira pada masa ini sangat kena, kerana masyarakat Malaysia sedang berhadapan dengan persoalan besar, iaitu tentang penampilan wajah Malaysia, atau jati diri bagi bangsa Malaysia khasnya, terutama dalam konteks yang kalau kita lihat, adanya di dalam sebuah kesatuan, ada persaingan di antara komponen masyarakat yang masing-masing mahukan bahagian mereka itu dilihat besar.

Golongan Melayu contohnya mahu budaya dan bahasa Melayu itu menjadi central issue kepada persoalan kehidupan yang boleh menjadi imej negara. Pada masa yang sama, ada juga golongan yang mahukan budaya dan bahasa yang tidak mirip kepada Melayu, diangkat sebagai asas, atau teras budaya bagi Malaysia. Kita faham ini adalah pendapat yang bertitik-tolak daripada kepentingan kedudukan, golongan-golongan atau bangsa-bangsa tadi.

Tetapi sudah tentu semuanya mahu ruang yang memihak bagi mereka.
Iya, betul. Jadi timbul persoalan: apakah kewajaran bagi berbagai pihak ini, mahu menjadi dominan sehingga melupakan kepentingan keseluruhan? Kepentingan keseluruhan bagi sebuah negara adalah pembinaan negara bangsa. Pembinaan ini harus bertitik-tolak daripada satu nilai. Kita tidak boleh mempunyai pelbagai nilai yang sama kuat, sehingga menyebabkan nilai-nilai ini bertempur di antara satu sama lain.

Menjadi satu konflik.
Ya, jadi konflik. Kita tidak ada masalah sebenarnya dalam konteks kemanusiaan sejagat untuk orang berbeza-beza, tetapi kerana masyarakat Malaysia ini terbahagi kepada kelompok agama, budaya dan sosial yang telah compartmentalised di antara masyarakat yang besar dalam komponen Malaysia tadi, maka sebarang perbezaan persetujuan antara komponen masyarakat tadi, sekiranya kekal dalam perbezaan itu, akhirnya akan menjadi satu letupan yang akan memusnahkan kesatuan yang sewajarnya menjadikan kita lebih kuat. Itu tafsiran saya.

Makanya, dalam konteks ini, apakah yang membuat Dr rasa filem ‘LuQman’ ini berjaya untuk menyumbang secara positif?
Saya hendak mewujudkan satu rangsangan supaya orang mula berfikir, dan mencari lebih dari apa yang saya rangsangkan. Saya tidak menunjuk arah di dalam konteks, saya hanya menunjukkan sampling yang wajar dirujuk untuk kita melihat apakah sebenarnya alternatif yang ada.

Satu sudut pandangan…
Satu sudut pandangan yang barangkali akan ada. Maksudnya begini. Negara ini telah menggunakan banyak acuan. Kita sudah ada sistem pendidikan yang menggunakan pelbagai pendekatan: bahasa kebangsaan, bahasa di sekolah jenis kebangsaan kemudian berbalik pada sekolah yang menggunakan dual language atau dwi bahasa, dwi pilihan dan sebagainya. Ini adalah petanda bahawa kita berada dalam keadaan serba salah untuk berpegang kepada sesuatu yang kita yakin, sesuatu yang berasaskan kajian, berdasarkan penilaian yang kita gunakan untuk mengangkat nilai tadi.

Tapi kerana itu, kita nampaknya membuat eksperimen yang seakan sama. Jadi peranan kita, dan peranan filem ini, adalah membuka sedikit satu sudut pandangan dengan harapan dapat mencetuskan satu kesedaran yang akhirnya akan mewujudkan satu kefahaman yang seimbang di antara kesemua kepentingan tadi. Sebab kepentingan keselamatan adalah perkara yang mesti diutamakan dahulu, mengatasi dari perkara-perkara yang lain barulah kita boleh katakan ia bergerak ke hadapan.

Untuk memperluaskan lagi perbincangan ini, kalau kita nak lihat kepada kawasan yang sama, seperti Indonesia, Singapore dan Thailand, apakah yang kita nampak dan yang boleh kita kaitkan dengan isu seperti kita di Malaysia?
Ya, amat menarik kalau kita melihat Indonesia, contohnya. Indonesia mempunyai penduduk yang sangat ramai…

Sesetengah orang akan kata terlalu ramai.
Terlalu ramai… mungkin. Mereka mempunyai suku kaum dan tebaran wilayah yang besar, budaya, bahasa dan sebagainya. Tetapi mereka telah disatukan dengan satu bahasa yang dipanggil Bahasa Indonesia. Dan kesatuan Bahasa Indonesia ini menjadi alat yang menyedarkan mereka adalah orang Indonesia. Tanpa adanya bahasa tadi, kelompok-kelompok masyarakat yang bertebaran jauh di antara satu kawasan dengan satu kawasan yang lain, daripada Sulawesi hingga ke hujung Padang, atau di Sumatera Barat misalnya, ini akan berubah. Sekarang, mereka sangat jauh, tetapi mereka merasai, “Kami orang Indonesia, kami satu bangsa”, kerana bahasa itu yang menyatukan mereka, dan juga menyatukan budaya mereka. Itu kekuatan Indonesia.

Pada masa yang sama, mereka juga ada isu-isu tertentu…
Dan saya tidak mengatakan Indonesia itu telah mutlak, telah cukup, telah sempurna, tetapi masih bertitik-tolak pada satu kesatuan. Kalau ada perbalahan, kalau ada pergeseran, maka mereka masih lagi dalam kerangka kesatuan tadi. Begitu juga di Thailand, mereka menggunakan Bahasa Thai. Orang Cina, orang Melayu, orang keturunan apa saja di Thailand, menggunakan Bahasa Thailand. Malah mereka juga menggunakan nama orang Thai. Itu kekuatannya di Thailand. Berbanding Singapura, Singapura adalah negara kecil yang menjadikan dirinya sebagai sebuah pusat kewangan dan bisnes antarabangsa. Maka, Singapura itu tidak boleh dilihat sebagai sebuah negeri yang kecil…

Mereka ada dalam konteks lain…
Ya, dalam konteks yang lain. Dia adalah pusat kepada aktiviti, perdagangan dan kewangan sejagat, sedunia. Kebanyakan aktiviti perniagaaan di Singapura dipengaruhi oleh international interactive identity. Maka dia tidak perlu mencari identitinya, dan mungkin terpaksa bergantung kepada budaya Bahasa Inggeris.

Mungkinkah ini cara untuk kita memajukan diri kita?
Pada sesetengah orang, kita harus menjadi seperti Singapura. Pada sesetengah gologan, kita patut mencontohi Thailand dan juga Indonesia. Di sini isu yang saya katakan tadi, kita berada dalam keadaan serba salah, dari tiga penjuru yang ada di keliling Malaysia ini.

Yang sangat kuat dengan identiti.
Kita tidak boleh menyalin, atau mengikut secara membuta tuli, atau secara tidak bijak. Kita tidak perlu menjadi seperti Singapura, kita juga tidak perlu menjadi seperti Thailand dan Indonesia, tetapi perlu menjadi seperti Malaysia. Dan tunjang kepada usaha ini adalah, untuk kita membangun, daripada apa yang kita ada, dan kita cuba perlu mempelbagaikan.

Misalnya, ada pendekatan yang disebut sebagai dual language, yang cuba digerakkan oleh kerajaan baru-baru ini, di mana Bahasa Melayu harus menjadi bahasa perdana, dan diikuti dengan Bahasa Inggeris. Tetapi keadaan ini, rupa-rupanya juga telah menyebabkan ada golongan yang mahukan Bahasa Mandarin supaya menjadi bahasa utama. Ini adalah isu yang sudah menjadi masalah kepada kita. Kalau kita mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdana, dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau secondary language yang penting, maka itu akan menjadikan kita lagi bagus.

Berbanding Singapura, mereka memperkasakan Bahasa Inggeris. Bahasa-bahasa lain itu adalah bahasa sampingan, yang digunakan oleh kelompok-kelompok tertentu sahaja. Tetapi Malaysia mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dengan Bahasa Inggeris, bahasa kedua, yang diguna pakai sama seperti bahasa utama, tetapi dua bahasa ini rupanya tidak mencukupi kerana adanya kedatangan Bahasa Mandarin. Hal ini sedang terjadi kerana kerajaan telah mengiktiraf kelulusan daripada negara China, dan institut pengajian tinggi China sudah mula membuka cawangan bahasa mereka di sini. Kalau hal ini disatukan dengan kepentingan ekonomi, maka perkembangan ini secara tidak langsung mula menggugat, mengganggu perkembangan Bahasa Melayu, bahasa utama, Bahasa Inggeris, bahasa kedua yang kita mahu semua orang jadi bagus.

Baiklah. Mengenai ‘LuQman’, Dr sendiri katakan tadi bahawa ini sebuah filem kecil. Mungkin Dr. boleh tolong jelaskan sedikit sebanyak tentang proses penerbitan filem ini secara lebih terperinci dan mungkin apakah cabaran besar yang dihadapi dalam penerbitan filem ini.
Ya. Proses penerbitan filem ini sama juga dengan proses yang dilalui filem-filem lain. Kita ada pre-production, production, dan post-production dan sebagainya. Cumanya yang berbeza adalah, proses ini diisi, atau didokong, oleh golongan yang belum pernah terbabit secara langsung dengan sebuah penerbitan filem yang dimaksudkan untuk tayangan pawagam. Cabarannya, kalau saya boleh katakan cabaran, ialah kami menggunakan tenaga produksi, fresh daripada universiti, sepenuhnya. Mereka telah belajar di universiti, tiga empat tahun, dan mereka terlibat dalam produksi filem ini sebagai tenaga produksi.

Apakah kebaikan dan kekurangan dalam metode ini?
Ada dua kebaikan dan kekurangan yang kita boleh lihat. Satu ialah kerana tidak adanya pengalaman yang dapat dibawa oleh semua daripada mereka ini ke dalam produksi ini, apa yang mereka sumbangkan adalah sesuatu yang hanya berbentuk tanggapan sebelum masuk ke dalam gelanggang.

Mereka hanya membaca buku dan sebagainya.
Ya. Membaca buku dan latihan-latihan yang mereka tahu. Tapi kerana mereka itu golongan yang agak celik dalam ilmu perfileman, dan kebetulan semua mereka adalah pelajar-pelajar saya, jadi saya senang dapat menggerakkan mereka menjadi pendokong yang komited untuk menjayakan objektif filem ini. Itu cabarannya.

Yang paling menarik ialah kerana mereka begitu komited, lalu saya dapat menggunakan sepenuhnya komitmen mereka. Mereka bukan berkerja kerana wang. Mereka bekerja kerana ingin melihat sesuatu terhasil daripada apa yang mereka tahu. Jadi proses ini penting kerana bukan sahaja mereka dapat apply apa yang telah mereka pelajari tetapi mereka juga dapat mengukur tahap performance mereka berasaskan kepada interaksi di antara kami. Kelebihannya ialah kami menggunakan pelakon profesional.

Ya. Dan saya dapat tahu juga sedikit sebanyak mengenai naskhah ini kerana filem menampilkan Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Josiah Hogan. Apakah reaksi mereka apabila mereka dapat tahu akan terlibat dalam produksi ini, tetapi tenaga kerja yang terlibat pula terdiri daripada golongan student dan sebagainya?
Yang saya perhatikan mereka tidak ada masalah kerana mereka sangat yakin kepada saya. Kebetulan, mereka yakin kepada saya dan Wan Hanafi Su, misalnya, adalah seorang sahabat yang kami sama-sama belajar seni lakon di Universiti Sains Malaysia dulu. Jadi kami sudah ada persefahaman dan hormat-menghormati di situ. Budaya kerja itu sudah ada persefahaman. Yang lain-lain itu tidak ada masalah, sebab barangkali ini yang menjadikannya sangat baik kerana orang setia kepada pengarah yang mereka percaya. They trust the director, and they just follow what the director said, because they believe this director can lead them toward somewhere. Boleh capai, atau tiba kepada satu level yang mereka harapkan.

Saya percaya mereka juga mahu filem ini menjadi tanda kepada komitmen kami semua. Semua yang datang itu bukan memikirkan soal kewangan tetapi semua yang datang adalah memikirkan soal bagaimana kita semua bersatu untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna kepada industri dan juga kepada negara. Hal ini tidak ada soalan, dan hampir tidak ada isu dalam kalangan kami, dalam kalangan semua: para kru, para tenaga produksi dan juga para pelakon. Tidak ada. Mereka memberikan sepenuhnya masa dan juga tumpuan mereka, fikiran mereka pada projek ini.

Jadi komitmen dari para pelakon juga sangat tinggi…
Untuk makluman, sewaktu penggambaran filem ini, tidak ada pelakon yang meninggalkan lokasi walaupun mereka tidak ada scene, tidak ada penggambaran.

Walaupun mereka tidak terlibat dalam penggambaran babak tersebut, mereka masih…
Ya, mereka sentiasa ada di lokasi. Ini menariknya, dan berbeza dalam produksi sebelum ini dan yang lain-lain. Saya tahu seorang pelakon itu hanya datang untuk scene mereka. Ya kan? Tetapi yang ini, mereka berkampung di sana bersama kami, siang dan malam, tidak ada yang berganjak keluar daripada lokasi. Hal ini yang menjadikannya kuat, dan saya percaya kekuatan itu boleh dilihat melalui penghasilan buah tangan oleh semua daripada kami, yang akan dihidangkan nanti.

Dr tadi ada menghubungkan pengalaman Dr dalam filem-filem sebelum ini. Sebenarnya Dr. Mahadi telah… dah berapa puluh tahun sebenarnya dalam industri filem?
Saya kalau nak ceritakan penglibatan tu, panjanglah. Lebih daripada 30 tahun.

Dalam konteks ini, apakah perbezaan yang paling besar yang Dr nampak dalam penggunaan alat-alat baru ataupun mengguna cara baru untuk menerbitkan filem? Adakah ini memberi kesan kepada cara Dr menerbitkan dan mengarahkan filem ini?
Ya, saya boleh katakan ini satu perkara yang sangat menarik. Saya terlatih sebagai… pertama sekali dari segi teknikal sebagai sinematografer. Bermula sebagai fotografer. Selepas daripada itu, saya menjadi sinematografer. Kemudian saya mempelajari film editing di BBC Film Studio, London, di mana kita belajar suntingan filem seluloid, filem negatif, filem secara fizikal.

Filem seperti apa yang orang faham filem…
Ya, jelas. Jadi sebuah filem itu nak disambungkan menggunakan simen. Filem itu betul-betul dipotong dengan pisau pemotong, kemudian filem yang telah dipotong tadi disambungkan dengan simen. Maka dia disatukan dan lalu diputarkan menjadi filem melalui shot by shot yang pelbagai. Berbeza dengan teknologi hari ini di mana kita menggunakan komputer. Alat-alat visual atau gambar tadi disambung berdasarkan secara virtual, secara digital. Sangat berbeza. Kita tak boleh pegang filem tu. Kalau dulu semua filem ini boleh dipegang.

Kalau kita dapat pegang filem kita sekarang ni, rosaklah hard disk.
Ya, itu bezanya. Menariknya berkerja dalam era teknologi seluloid, era teknologi negative, kita boleh pegang dan sebagainya, tetapi semuanya secara fizikal. Hari ini tak boleh dipegang. Yang menariknya hari ini, teknologi komputer telah memberikan lebih daripada apa yang boleh diberi oleh teknologi filem dahulu. Contohnya kami membuat filem ini dengan pendekatan yang simple, tetapi bila kita pergi kepada post-production, kita menggunakan teknologi digital dengan membuat pelbagai improvement. Kalau dalam lokasi kita terbatas dengan barangkali lighting, gerak kamera dan sebagainya, tetapi apabila kita pergi ke komputer, kita boleh menggunakan komputer untuk menjadikan visual kita lebih convincing.

Seperti?
Contohnya kita boleh menggerakkan gambar seolah-olah kita sedang membuat zoom in, atau zoom out, atau pan ataupun crop gambar, ataupun kita boleh membuat gerak-gerak slow motion tanpa batas. Kalau dulu kita nak slow motion kita kena set camera speed, 64 frames per seconds, atau mungkin 120 frames per seconds. Kita mesti buat begitu, tetapi sekarang kita rakam secara biasa lalu kita buat slow motion movement tadi dengan menggunakan komputer. Ini bukan satu solusi mutlak atau sempurna, tetapi ianya tetap menjadi satu solusi.

Jadi ini sangat senang. Kita boleh membuat hampir semua benda. Kita boleh gunakan gambar yang tidak bergerak untuk digerakkan, kita boleh menggerakkan gambar secara perlahan… kita juga boleh membuat color grading, kita juga boleh buat dissolve. Semua optical effect dulu yang terpaksa buat di makmal, hari ini boleh dibuat hanya di depan komputer. Kalau kita nak buat slow dissolve, fast effect, kita boleh bokeh effect, colour effect, hampir segala benda boleh dibuat di komputer. Saya tahu ini mungkin sesuatu yang umum buat ramai orang, tetapi saya ingin tekankan bahawa ini adalah apa yang saya nampak, kalau ingin dibandingkan zaman dulu dan sekarang.

Dalam perubahan teknologi ini, adakah ini menjadi satu isu untuk Dr, misalnya, dengan gaya pengarahan yang menjadi lain?
Oh, tidak. Pada saya, komunikasi di antara warga kerja tetap sama. Cumanya knowledge kita, knowledge mereka dalam memahami apa yang boleh diberi oleh teknologi akan menyebabkan urusan itu mudah. Contohnya, kalau kita nak buat sebuah gambar di tepi pantai, di mana gambar itu kita nak matting dengan gambar lain. Kita cakap, mereka faham, atau mereka cakap, kita faham, kerana pemahaman ini, persefahaman ini sangat penting, jadi pengarahan perlu menimbangkan soal apakah yang boleh dibuat semasa pasca produksi.

Yang ini penting, dan saya beruntung kerana pelajar-pelajar generasi muda yang ada di dalam produksi tadi. Kerana minat yang tinggi, mereka memberi pandangan dan sumbangan dari segi technical aspect, aspek-aspek yang baru tadi. Walaupun saya memang tahu, tetapi secara detail mereka lebih tahu kerana mereka satu rentak dengan perkembangan teknologi.

Satu manfaat berkerja dengan orang muda!
Itulah kelebihannya. Kelebihan yang kita dapat dari teknologi digital ini ialah kita boleh menjadikan filem kita lebih bagus. Satu perkara yang mudah tetapi penting ialah, kalau kamera kita tak stabil, kita pergi ke komputer, kita boleh stablize movement camera.

Agar menjadi lebih stabil…
Jadi lebih stabil, ini bagus. Kita ada pengalaman. Memang kita ada masalah camera handling sewaktu shooting filem ini, tetapi apabila masuk ke dalam komputer, bila melalui pasca produksi, semuanya kelihatan profesional, output dia. Imej-imej yang disudahkan adalah imej-imej yang setara dengan profesional.

Bila kita cakap mengenai imej ataupun isi kandungan filem itu sendiri, saya rasa banyak boleh dikaitkan dengan filem-filem Dr sebelum ini, seperti perwatakan wanita. Saya tak tahu kenapa tetapi banyak watak wanita yang boleh dikatakan agak kuat dalam beberapa konteks. Adakah Dr memang secara conscious mewujudkan watak-watak tersebut dengan cara yang sistematik ataupun ada sebab lain?
Ya, saya tidak dapat lari daripada bergantung harap kepada wanita. Kerana wanita, sumbernya kuat. Mereka ada sumber emosi yang besar, yang kuat, yang boleh kita pergunakan untuk menyampaikan sesuatu objektif drama, sesuatu perasaan atau kewujudan sesuatu konflik. Boleh dengan mudah dicetuskan kepada wanita. Dan wanita juga adalah sumber emosi yang boleh memperkuatkan filem kita. Kalau kita tidak dapat capitalise atau mempergunakan emosi wanita untuk menjadikan filem itu berkesan, kita hilang satu peluang untuk menyebabkan penyampaian cerita itu menarik.

Saya katakan begini kerana perempuan itu sentimen yang tinggi, emosi yang besar, dan juga mempunyai keinginan atau nafsu yang tinggi untuk mencapai apa yang dia mahu. Maka ini adalah sumber konflik yang sangat efektif untuk membina drama.

Secara kreatif.
Ya, kita boleh menggunakan secara bijaksana, dengan syarat kita kenal watak itu. Siapa dia? Apa yang dia mahu? Apakah halangan-halangan yang dihadapinya, dan bagaimana dia menyelesaikannya? Ini adalah cabaran yang penting. Walaupun anda menyebut ‘Sayang Salmah’, ‘Wanita Bertudung Hitam’ dan juga ‘LuQman’ tadi, tetapi memilih sisi yang betul untuk watak itu sebenarnya tidak mudah. Dalam ‘LuQman’, misalnya, kita memilih sisi Ayu yang terpaksa membuat pendirian bila berada dalam keadaan tertekan, ataupun apabila dia berada dalam keadaan yang mendesak, supaya dia memilih di antara A dan juga B. Mereka sebuah sisi atau frame pemikiran Ayu ini adalah satu kerja yang sulit untuk saya. Saya nak Ayu menjadi apa? Saya perlu memahami wanita ini dengan sepenuhnya supaya saya menyarankan sudut laluan fikiran dia, yang akhirnya menyumbang kepada pembinaan drama ini dan saya harap ini dapat diterima, sesuai dan selari dengan kewajaran oleh penonton.

‘LuQman’ dibintangi oleh Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Josiah Hogan. Filem ini akan muncul di pawagam, 28 September 2017. Check out the film’s website here, or follow them on Facebook, Twitter and Instagram.

Featured image credit: Medical Media Training

Leave a comment